List of top Bahasa Melayu Questions asked in CBSE Class X

Baca petikan di bawah dengan teliti dan tulis satu ringkasan tentang kepentingan menjaga kesihatan diri. Panjang ringkasan hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
(Read the passage carefully and write a summary on the importance of maintaining personal health. The summary should be no more than 80 words. You are encouraged to use your own sentences without changing the original meaning of the statement.) (10 Markah)

Kesihatan merupakan anugerah Tuhan yang tidak ternilai harganya. Meskipun anda mempunyai duit yang banyak, duit bukanlah jaminan kepada kesihatan yang baik. Oleh hal itu, menjadi kewajipan setiap individu untuk memastikan amalan penjagaan kesihatan diri dipraktikkan dengan sebaik-baiknya.

Apabila kesihatan diri terjaga, kita mampu melakukan pelbagai aktiviti. Contohnya, bermain bola sepak dan beriadah bersama-sama dengan anggota keluarga dan rakan-rakan. Selain itu. kita dapat belajar dengan selesanya kerana mudah menumpukan perhatian sewaktu guru sedang mengajar di dalam kelas. Kesihatan diri yang terjaga juga membolehkan kita berfikir dengan rasional apabila menghadapi sesuatu perkara. Kita akan menjadi lebih kreatif dan inovatif juga.

Individu yang mengutamakan kesihatan diri dapat mengelakkan diri daripada dijangkiti penyakit. Kewujudan pelbagai penyakit yang berbahaya pada hari ini amat menggerunkan semua lapisan masyarakat. Keadaan ini tidak seharusnya dipandang remeh, sebaliknya perlulah dianggap serius dan disusuli dengan langkah yang lebih efektif. Kita disarankan supaya makan sayur-sayuran dan buah-buahan yang membekalkan pelbagai mineral dan vitamin.

Seseorang yang mementingkan kesihatan diri dapat menjimatkan wang juga. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila seseorang menghidap sesuatu penyakit terpaksa mengeluarkan wang yang banyak untuk merawat penyakit yang dihidapnya. Sebaliknya, jika kita sihat, wang yang kita miliki itu dapat digunakan untuk melancong, membuat kebajikan, atau membeli barang keperluan yang lain.